Saturday, February 12, 2011

GNCC di Konvensyen Memperingati 500 Tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka

MELAKA, 29 Januari -Konvensyen Memperingati 500 Tahun Empayar Melayu Melaka, KEMM1511 diadakan bertempat di Universiti Teknikal Melaka, UTEM anjuran Ikatan Muslimin Malaysia dan Persatuan Belia Islam Nasional. Seramai kira-kira 3500 peserta hadir terdiri daripada tokoh-tokoh negara, ibu bapa, pelajar universiti dan individu perseorangan. Kolej Mara Banting diwakili oleh ahli-ahli GNCC seramai 40 pelajar dan pensyarah penasihat, Pn.Mardhiah Kathani.

Atur cara majlis pada hari tersebut dimulakan sesi pertama iaitu dengan tiga slot pembentangan.  Slot kertas kerja yang pertama, bertajuk ‘Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka’ oleh  YBhg . Prof Emeritus Datuk Dr. Yusuf Hashim yang merupakan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka(KUIM). Dalam pembentangan kertas kerja ini beliau mengingatkan peserta-peserta mengenai latar belakang kebangkitan Melaka dan kegemilangan Melaka dari segi politik dan ekonomi. Beliau menyimpulkan bahawa generasi muda perlu mengambil pengajaran daripada kejatuhan Empayar Melayu Melaka dan orang Melayu tidak lagi perlu rasa rendah diri dan malu dengan bangsa sendiri kerana mereka dahulu merupakan bangsa yang gemilang.


Pembentangan diteruskan pula oleh YBhg. Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Mantan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Beliau membawa tajuk ‘Kejatuhan Melaka Sebagai Pengajaran Penting Untuk Bangsa Melayu-Islam Hari Ini’. Beliau menegaskan bahawa kejatuhan Empayar Melayu Melaka bukanlah satu tragedi bahkan  merupakan Rahmat Allah ke atas ummat bangsa ini. Beliau juga turut mengupas Karya Agung Melayu “Hikayat hang Tuah” dan visi ” Tak Akan Hilang Melayu Di Dunia” dan menegaskan kepentingan raja dan rakyat dalam membina visi besar bangsa Melayu. Pembentangan tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady  yang memberi kupasan menarik mengenai Hang Tuah.

Majlis dihangatkan lagi dengan pembentangan slot terakhir oleh Al-Fadhil Ust. Mohd Fauzi Asmuni, Naib Presiden 2 ISMA dengan tajuk ‘Perjuangan Bangsa Melayu Dalam Mempertahankan Jatidiri dan Agama Islam’. Beliau telah menjelaskan definisi bangsa Melayu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan menjelaskan mengenai jatidiri bangsa Melayu yang sebenarnya. Pada akhir pembentangan, beliau menyimpulkan bahawasanya bangsa Melayu adalah bangsa yang sangat rapat dengan Islam dan bangsa Melayu akan lemah jika bersama unsur-unsur selain Islam.
Di sebelah petang pula, bermula sesi kedua iaitu forum yang bertajuk ‘Mengembalikan Jatidiri Bangsa Melayu dan Islam’. Forum ini telah dipengerusikan oleh Tuan Hj. Aminuddin Yahya, Setiausaha Agung ISMA merangkap pengarah konvensyen ini. Empat orang ahli panel telah dijemput khas bagi mengupas tajuk ini iaitu al-Fadhil Ust. Abdullah Zaik Bin Abdul Rahman, Presiden ISMA selaku ahli panel pertama dan Yang Berbahagia Dr. Muhammad Razak Idris, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) selaku ahli panel kedua. Yang Berbahagia Dato’ Dr. Abdul Latif Abu Bakar, Ketua II GAPENA turut juga dindang sebagai ahli panel ketiga. Turut tidak ketinggalan ahli panel yang terakhir, Yang Berbahagia Datuk Siti Zahrah Sulaiman, Mantan Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Forum ini telah mendapat sambutan hangat  dan ketika sesi soal jawab, ahli-ahli panel telah dihujani pelbagai soalan yang dikemukakan oleh para hadirin, tidak kurang juga yang menyokong usaha ISMA dan PEMBINA dalam menjayakan Agenda Perjuangan Bangsa Melayu Islam di Malaysia
Konvensyen diakhiri dengan pembentangan 12 resolusi yang dicapai melalui konvensyen ini. Resolusi-resolusi tersebut telah dibentangkan oleh Tn Hj Aminuddin Yahya. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Haji Yaakub bin Mohd. Amin,  Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia Negeri Melaka, dengan diakhiri persembahan silat. Beliau menasihati generasi muda agar mengambil pengajaran daripada sejarah lampau dan tidak lalai dengan kesenangan dan keamanan yang dikecapi sekarang.
Diharapkan program ini berjaya membentuk suatu generasi baru yang menjadi pendokong dakwah di kalangan anak bangsa Melayu sendiri. Moga diharap dengan segala pengisian yang diberi mampu membina dan memperkuatkan jati diri sebagai seorang Melayu Muslim.



:Layari:

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More